Buat Duit Dengan Cacing

By zGreat on Sunday, March 09, 2008

Filed Under:

BAGI sesetengah orang, cacing sejenis haiwan menggelikan sama seperti spesies ular, belut atau lintah, malah mereka mungkin tidak pernah terfikir manfaat atau kebaikan yang ada.Namun, pada pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Azlinda Ros Agro (AZR Agro Centre), Mustafa Abdul Wahab, 35, cacing menjadi aset paling berharga, malah menjadi ‘mainannya’ sejak berkenalan dengan haiwan itu beberapa tahun lalu.

Bagai isi dengan kuku, itu yang boleh diibaratkan antara Mustafa dan cacing yang kini menjadikan haiwan itu seperti rakan karib tidak kira siang atau malam.

“Memang, bagi sesetengah orang, cacing menggelikan, tetapi yang geli inilah boleh memberi pulangan lumayan jika kita bijak memanfaatkannya. Ramai kurang mengetahuinya,” katanya.

Menurut anak kelahiran Muar, Johor itu, ketika meluahkan hasrat membabitkan diri dalam bisnes cacing, ada yang memandang sinis, malah berkata, “tiada bisnes lain lagi ke yang boleh diceburi.”

Begitupun, Mustafa tidak mengendahkannya, malah bersama rakan kongsi, Azlinda Ros Abdul Aziz, mereka serius untuk terbabit dalam industri ternakan cacing bermula 2006 melalui syarikat AZR Agro Centre.

“Mungkin ramai kurang tahu, selain menghasilkan baja kompos, cacing ada protein yang boleh digunakan dalam perubatan dan kosmetik. Kelebihan ini yang memberi manfaat kepada kita, sedangkan di luar negara ia sudah lama diterokai,” katanya.

Menurutnya, ada 1,800 spesies cacing di dunia ini, tetapi yang banyak ditemui ada lima, antaranya cacing merah (red worm); cacing harimau (tiger worm); cacing biru (blue worm) dan cacing malam (Afrika night crawler).

Melalui syarikat itu, mereka memberi tumpuan kepada kelima-lima cacing berkenaan untuk tujuan jualan, kajian dan pengeksportan.Katanya, meskipun nampak mudah, persediaan rapi perlu dilakukan, terutama memiliki ilmu mengenainya.

“Sebelum serius, saya buat kajian sendiri melalui bacaan, sama ada buku atau Internet, selain mempelajari daripada mereka yang mahir, termasuk ke luar negara,” katanya.

Lebih menarik lagi, penerokaan Mustafa lain daripada lain apabila dia dipercayai orang pertama menternak cacing di dalam rumah di negara ini.Katanya, idea itu timbul berikutan dia mahu membuat pembaharuan berbanding konsep sedia ada.

“Kali pertama, saya bina bangsal yang ada sekarang di Banting, Selangor dan selepas itu, buat dalam rumah di Senawang, Negeri Sembilan. Meskipun baru, ia mula menampakkan hasil,” katanya.

Dalam konsep moden itu, Mustafa membina perumah bertingkat daripada kayu sebagai tempat pembiakan cacing. Jika berkunjung ke Senawang, di dalam bilik atau di ruang tamu, ia dipenuhi perumah yang mengandungi ribuan cacing di dalamnya. Idea dan konsep baru yang diperkenalkan Mustafa unik, malah ia menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menyaksikannya.

Begitupun, untuk berjaya seperti mana dilaluinya, mungkin ramai tidak tahu sebenarnya Mustafa tiada pengalaman dalam bidang berkenaan. Ini kerana, sebelum terbabit dalam industri itu, beliau adalah kontraktor.

“Saya sukakan cabaran dan kerana itu selepas tamat sekolah, saya terbabit dalam bidang berlainan seperti keselamatan, minyak dan gas, pembinaan serta pertanian.“Sebelum ini memang saya kontraktor, tetapi selepas berlaku kegawatan ekonomi selain menghadapi masalah lambat terima bayaran, saya perlu cari bidang lain sehingga terbabit dalam industri cacing ini,” katanya.

Mengenai bidang pembinaan yang diminatinya, bapa empat cahaya mata itu berkata, ia terbit sejak kecil lagi, malah setiap kali ada projek perumahan atau pembinaan rumah, dia sanggup menunggu berjam-jam lamanya hanya kerana mahu melihat kontraktor menyiapkan kerja.

“Saya pernah pergi ke rumah yang dibaiki sejauh lima kilometer hanya untuk melihat pembinaannya. Pernah saya membuat kerja sekolah di rumah yang dalam pembinaan sambil melihat kontraktor melakukan kerja,” katanya.

Ketika di sekolah menengah, Mustafa membuat reban ayam, rak kasut dan buku di rumahnya, manakala di sekolah, dia menawarkan diri jika ada membabitkan projek pembinaan.Selepas tamat zaman persekolahan, Mustafa berkhidmat dalam pasukan Johor Military Force (JMF) iaitu pasukan keselamatan yang berkhidmat di bawah Sultan Johor, Sultan Iskandar.Di samping bekerja, beliau turut mengambil projek pembinaan seperti membuat pagar, pondok dan pemasangan jubin serta paip.

Selepas tiga tahun, beliau mengambil keputusan berhenti dan berkhidmat dengan sebuah syarikat minyak dan gas, termasuk dihantar ke Sabah pada usia 22 tahun. Selama tiga tahun di sana dan berbekalkan modal yang ada, Mustafa berhenti dan pulang ke Johor untuk meneruskan niat terbabit dalam industri pembinaan. Sejak itu, dia mula sedikit demi sedikit sebelum berkhidmat dengan sebuah syarikat pembinaan berpangkalan di China. Bersama syarikat asing itu, beliau kerap berulang-alik ke luar negara, terutama sekitar Asia, untuk menjalankan pelbagai projek.

Pada masa sama, beliau menjalankan projek tempatan.“Dalam bidang kontraktor ada pasang surutnya, dan berikutan mengalami masalah lewat terima bayaran, terdetik hati saya untuk cari perniagaan lain.

“Pada masa itu boleh dikatakan zaman saya jatuh, kereta terpaksa dijual dan keluarga hanya makan di rumah berbanding sebelum itu kami selalu keluar makan. Namun saya bersyukur, keluarga memahami,” katanya.

Profil
NAMA: Mustafa Abdul Wahab
LAHIR: 31 Disember 1972 di Muar, Johor
USIA: 35 tahun
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Azlinda Ros Agro (AZR Agro Centre)
ISTERI: Noor Azura OsmanANAK: Noor Elya Diana (10); Noor Natasha (8); Mohd Alif Daniel (6) dan Noor Aisyah Afiqah (5)
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Batu, Muar dan Sekolah Menengah Tun Perak, Muar, Johor

3 comments for this post

saya berminat untuk menjadi usahawan cacing...pihak saudara ada anjurkan kursus x ..klu ada bila dan dimana..?

Posted on March 11, 2008 at 9:22 PM  

pihak encik ada buat kursus tak? bila dan dimana? tolong email saya @ baby_ureka@yahoo.com

Roni

Posted on June 22, 2008 at 11:08 AM  
This comment has been removed by a blog administrator.
Posted on September 5, 2008 at 8:53 PM